SHAH ALAM: Sebanyak 752 notis berkaitan kesalahan merokok melibatkan kompaun bernilai RM192,850 dikeluarkan menerusi Ops Asap di seluruh Selangor, pada Selasa.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata 594 individu dikenakan kompaun kerana merokok di kawasan larangan seperti di premis makanan (326), kawasan kompleks beli-belah (230) dan kawasan lapangan terbang (38) dikenakan tindakan.

Beliau berkata 50 notis kesalahan lagi dikeluarkan kepada premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 47 notis kepada premis gagal memastikan tiada yang merokok di dalam premis.

"Selain itu 18 notis dikeluarkan ke atas penjual hasil tembakau yang gagal mempamerkan tanda larangan jualan kepada orang belum dewasa dan 43 notis lagi dikeluarkan bagi kesalahan lain di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya setiap kompaun yang dikeluarkan itu bernilai RM250 hingga RM500, yang sekiranya tidak dijelaskan dalam tempoh ditetapkan tindakan pendakwaan akan diambil dan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun boleh dikenakan.

Dr Sha'ari berkata operasi itu melibatkan 260 kakitangannya yang terdiri daripada pegawai kesihatan persekitaran dan penolong pegawai kesihatan.

Orang ramai yang mempunyai aduan mengenai kesalahan merokok, boleh menyalurkannya menerusi aplikasi Whatsapp di 010-8608949.

-- BERNAMA