ALOR SETAR: Polis menahan 20 suspek dipercayai penagih dalam Ops Tapis Khas yang menjadikan kawasan rekreasi Gunung Keriang sebagai lokasi penagihan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu berjaya menahan dua lelaki dipercayai tokan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 24 dan 38 tahun itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Polis juga berjaya merampas syabu seberat 6.05 gram dan heroin 50.36 gram dalam operasi yang bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam Jumaat itu.

Katanya, semua ditahan berusia 22 hingga 60 tahun dan kesemuanya positif dadah disiasat di bawah Seksyen 39B dan 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar syabu dan heroin, dan disiasat bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 manakala selebihnya disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Satu tangkapan untuk 39B, satu tangkapan untuk 39A(2), dua tangkapan untuk 39A(1) dua tangkapan untuk 12(2), dan juga 14 tangkapan untuk 15(1). Semuanya 20 tangkapan," kata Ahmad Shukri.

Mereka berdepan hukuman penjara di antara lima hingga tujuh tahun dan boleh dikenakan satu hingga tiga kali sebatan.

Katanya lagi, operasi akan dilakukan secara berkala bagi membersihkan kawasan tumpuan orang awam itu daripada aktiviti dadah.