KUALA LUMPUR: Golongan belia Orang Asli mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam membawa dan memastikan misi imuniti kelompok dapat dijayakan.

Biarpun menunjukkan tanda positif dengan lebih 50 peratus komuniti Orang Asli sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menjayakan matlamat imuniti kelompok masih mempunyai cabaran yang besar, khususnya dalam mendekati golongan warga emas dan mereka yang tinggal jauh di pedalaman.

"Dalam komuniti Orang Asli, mereka yang antivaksin ini adalah kerana salah tanggapan dan kefahaman tentang vaksin. Mereka tidak ada pendedahan daripada sumber yang sahih, jadi apa sahaja yang disampaikan dari mulut ke mulut, itulah yang mereka percaya.

"Apabila sudah disogokkan dengan perkara sama setiap hari, sudah tentu mereka percaya," kata wakil belia Orang Asli, Wa Adja, dari Perak.

"Lebih menjadikan situasi mencabar ialah ramai pula yang menjadi pakar tidak bertauliah tentang vaksin. Macam-macam cerita rekaan seperti vaksin ialah cip untuk mengesan kedudukan manusia malah ada juga yang dimomokkan dengan kesan teruk vaksin sehingga membawa kematian, ini yang mereka dengar setiap hari," kata seorang lagi wakil, Nini.

Mereka berkata demikian dalam webinar bertajuk 'Peranan Belia Dalam Vaksinasi Komuniti', anjuran bersama Koperasi Sengoi Pribumi Perak, Apa Kata Wanita Orang Asli dan Malaysian CARE, pada Khamis.

Justeru, misi penting harus digalas oleh belia yang dilihat mempunyai kelebihan dari aspek akses internet dan maklumat yang lebih tepat.

"Kita kena faham, kemudahan di perkampungan Orang Asli khususnya yang betul-betul di pedalaman, tidak sama. Ada kampung yang kemudahan asas seperti elektrik dan air juga tiada.

"Di sinilah peranan belia sangat penting. Golongan warga emas, ibu bapa serta datuk nenek kita, mereka tak tahu dan tidak faham. Jadi kita perlu tolong jelaskan kepada mereka.

"Kalau kita mahu harapkan pihak luar seperti Kementerian Kesihatan, memang mereka juga ada buat kempen. Tetapi orang-orang tua biasalah, kalau orang luar beritahu, mereka tak dengar.

"Berbeza jika anak atau cucu sendiri beri penjelasan, mereka lebih senang terima," kata Ashley, juga wakil belia Orang Asli Perak.

Ketika ini, penerimaan masyarakat Orang Asli terhadap vaksin semakin baik apabila lebih 74,000 sudah menerima dos pertama.

Setakat 20 Ogos, lebih 3,000 Orang Asli dijangkiti COVID-19, dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) aktif memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran tentang bahaya COVID-19 serta pentingnya pengambilan vaksin bagi mencegah jangkitan itu.