GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan pegawai yang terlibat dalam sebarang amalan rasuah dikenakan tindakan tegas, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Chow berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap jenayah rasuah yang melibatkan penjawat awam di negeri itu kerana ia selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik CAT; yakni kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan, yang diamalkan Pulau Pinang sejak 2008.

"Tiada sesiapa pun yang kebal daripada undang-undang; dan penjawat awam sama ada dari pihak berkuasa dan agensi Persekutuan, negeri atau tempatan; sesiapa sahaja yang didapati terlibat menerima rasuah, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu, perlu disiasat dan didakwa secepat mungkin," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Chow berkata, kerajaan Pulau Pinang mahu supaya SPRM telus dalam mendedahkan jumlah kes yang dibawa ke mahkamah dan jumlah penjawat awam yang didapati bersalah.

"Kami menuntut ketelusan di pihak SPRM kerana kami tidak mahu imej penjawat awam Pulau Pinang dan kerajaan negeri tercemar hanya dengan jumlah aduan yang diterima sejak 2019," katanya.

Difahamkan Chow berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam yang berkata bahawa kesalahan menerima rasuah, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang adalah membimbangkan.

Azam dilaporkan berkata, berdasarkan statistik, SPRM menerima 919 aduan mengenai pelanggaran undang-undang berkaitan rasuah di Pulau Pinang sejak 2019 hingga sekarang. - BERNAMA