Kerajaan Pulau Pinang mengemukakan tiga cadangan bagi memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 kepada kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan di negeri itu bagi tempoh sembilan hari terakhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadual berakhir pada 14 April.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata untuk tempoh sembilan hari berkenaan, kerajaan negeri berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah dan memudahkan prosedur ujian saringan COVID-19, dan jika perlu kerajaan negeri bersedia membantu dalam inisiatif itu di Pulau Pinang.

"Ini kerana, kita perlu menggunakan kesempatan pada tempoh pelaksanaan PKP ini untuk membolehkan semua kes positif COVID-19 'timbul' ke permukaan dan seterusnya mengambil tindakan yang diperlukan. Maksudnya kita mahu semua kes positif COVID-19 muncul dalam tempoh tersebut," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook peribadinya, di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri juga meminta Kementerian Dalam Negeri melaksanakan kawalan pergerakan di sempadan-sempadan negeri itu bagi membolehkan Pulau Pinang memutuskan rantaian penularan COVID-19 dengan lebih berkesan.

"Negeri-negeri seperti Sarawak dan Sabah yang mempunyai kuasa Imigresen negeri telah pun lebih awal melaksanakan pendekatan ini," katanya.

Chow berkata cadangan ketiga ialah meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Sumber Manusia menetap dan menguatkuasakan protokol Persekitaran, Kesihatan dan Keselamatan bagi pihak industri agar semua perusahaan yang dibenarkan beroperasi diwajibkan mematuhi langkah-langkah keselamatan serta kesihatan dengan tegas tanpa pengecualian.

"Satu garis panduan yang lebih jelas terhadap industri penting dan industri sokongan kepada industri penting ini perlu dikemas kini dan diumumkan sebagai makluman umum," katanya.

Beliau berkata semua cadangan itu akan dibawa secara rasmi ke Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 akan datang.

-- BERNAMA