MINGGU lalu, isteri saya selamat melahirkan anak sulung kami. Selain kami berdua, yang paling gembira tentunya Opah saya yang membesarkan saya sejak kecil.
Opah saya menyambut cicitnya yang ketujuh, dan ini cicitnya yang pertama dilahirkan di Kuala Kangsar, daerah yang menjadi tempat letak rumah kampung kami. Pada umur 81 tahun, daya ingatan Opah semakin hari semakin dimamah usia. Seringkali dia keliru apa yang kami bualkan, malah acapkali mengulangi soalan yang sama.
Namun, tulisan ini bukan tentang Opah mahupun anak sulung saya.
Opah saya lahir pada tahun 1932, setahun sebelum pembikinan filem Laila & Majnun, iaitu filem pertama Tanah Melayu.
Walau ada pertikaian mengenai tahun terbitan bagi filem ini, iaitu sama ada tahun 1933 mengikut tahun ia dibikin, atau tahun 1934 mengikut tahun ia ditayangkan kepada umum, saya tidak ada masalah dengan keduanya. Bagi saya, sepertimana pengkisahan sejarah dimana sekalipun, ia adalah sebuah ringkasan peristiwa, yang disusun oleh para sejarawan mengikut justifikasi tersendiri. Setiap fakta, termasuk sejarah alternatif disusuli hujah dan pengukuhan masing-masing. Selagi kita meraikan kepelbagaian, selagi itulah sejarah akan terus hidup, tidak kaku dan mati.
Jika tahun pembikinan Laila Majnun pada tahun 1933 diambil kira, sinema Malaysia menyambut ulang tahun yang ke-80 tahun ini. Dalam usia lingkungan dekad sebegitu, sepertimana Opah saya, sinema Malaysia juga semakin keliru.
Di mana kekeliruan ini bermula?
Kebanyakan para penggiat filem kini mendapat pendidikan formal di universiti dan sekolah-sekolah filem, sesuatu yang hampir mustahil suatu ketika dahulu. Bukankah ia perkembangan yang baik?
Ya, ia senario yang baik. Namun apa yang dibimbangkan ialah apabila masih ada sekolah-sekolah filem ini, khususnya di Malaysia yang tidak jelas perbezaan kursus produksi filem dengan pengajian filem. Maka muncullah sekolah-sekolah filem yang mahu menjadi syarikat `production house`, dengan menilai gred mahasiswanya berasaskan kepada berapa besar skala filem yang dibikinnya, atau berapa ramai selebriti popular yang berlakon dalam filem tugasan mahasiswa mereka.
Mahasiswa dilatih menjadi pekerja, bukan karyawan mahupun pemikir, apatah lagi penyelidik dengan asas akademia. Jika begitu, apa beza universiti dengan politeknik, kolej komuniti atau sekian banyak sekolah teknik dan vokasional seluruh negara?
Nampaknya dunia intelektual universiti makin direndahkan dengan meletakkan ia sebagai tempat untuk mempelajari kemahiran dan skill pembikinan semata-mata. Ilmu filem dalam konteks pengajian filem (film studies), pengajian budaya (cultural studies), pengajian sosial (social studies), pengajian industri (industrial studies) dan banyak lagi kurang diberikan pendedahan sewajarnya kepada mahasiswa.
Dunia intelektual universiti kita mula keliru. Mahasiswa perfileman didesak menjalankan pelbagai projek pelajar yang bersifat popular kononnya atas dasar bagi memperolehi pengalaman dan kemahiran untuk memenuhi keperluan pasaran kerja, tetapi dalam masa yang sama didesak juga untuk mengejar status universiti penyelidikan (research university). Apa yang universiti kita mahu?
Mahasiswa keliru dan sinema kita pun semakin keliru.
Para graduan ini membawa kekeliruan ini ke lapangan industri. Para graduan yang menjadi penggiat (malah ada juga sesetengah menjadi ahli akademik) mula bercakap soal filem seni dan filem komersil. Filem seni versus filem komersil? Muncul klasifikasi mudah bahawa filem seni adalah untuk ahli akademik dan filem komersil untuk penggiat industri.
Saya sehingga kini tertanya-tanya, apakah yang dimaksudkan sebagai filem seni dan filem komersil ini. Yang saya tahu hanya ada filem yang baik dan filem yang buruk. Filem yang baik tetap menjadi filem yang baik. Filem yang baik didukung oleh cerita & penceritaan yang baik. Ya, cerita & penceritaan yang baik.
Setiap filem itu seni dan setiap filem itu juga komersil. Bukankah setiap pembikinan filem itu melibatkan banyak kemahiran estetika (walau tahapnya berbeza). Filem ini kemudiannya untuk dipertontonkan kepada penonton, tidak kiralah sama ada di seluruh negara, mahupun hanya di bilik kecil Stor DBP. Bukankah ini komersil, yang dijelaskan oleh maksud kata `komersil` itu sendiri?
Sinema kita semakin keliru.
Salah faham konsep terhadap peranan pengkritik semakin menjadi-jadi bila pengkritik dicabar oleh para karyawan untuk membikin filem yang lebih baik, hanya gara-gara filem mereka dikritik. Bukankah tugas pengkritik itu untuk mengkritik?
Para pengkritik pula (jika layak digelar pengkritik) semakin galak memperkatakan setiap inci `kesalahan & kesilapan` sesebuah filem. Mengajar bahawa itu salah dan seharusnya begini. Bukankah peranan pengkritik itu mengkritik dalam konteks teks atau naskah itu sendiri, bukannya mengajar karyawan itu apa yang betul atau apa yang salah?
Ada pengkritik (atau mungkin pengulas) yang lebih selesa untuk memuji sesebuah filem setinggi gunung seolah tiada cacat cela. Malah lebih menyakitkan bila ada pengkritik yang terus mengkritik tanpa menonton filem itu terlebih dahulu, hanya bersandarkan persepsi bahawa filem popular atau box office itu tidak bagus!
Budaya hujah tidak wujud. Yang wujud hanya budaya angguk-angguk dan geleng-geleng. Karyawan dan pengkritik sama-sama keliru. Sinema kita semakin keliru.
Kalangan pentadbir industri pula seharusnya jelas dengan apa definisi sebenar industri. Adakah sekadar dengan peningkatan nilai urusniaga mahupun kutipan tiket, itu sudah cukup untuk industri kita. Hingga kadangkala kita terlupa, bahawa untuk membina sebuah industri yang mapan, kita harus melengkapkan industri dari segala segi. Ini termasuklah dalam bidang pengedaran, penapisan, penyuburan apresiasi masyarakat, penyiaran, pemameran, pendidikan, penyelidikan, malah sehingga seboleh mungkin filem berakar menjadi sebahagian cara hidup masyarakat kita.
Apalah makna apabila kutipan filem kita mencatat bilion ringgit, namun industri filem kita ini ketiadaan cendikiawan untuk mentakrifkan signifikan fasa itu dalam peradaban manusia. Kerana itulah saya menyatakan bahawa pentadbir industri harus memahami bahawa membangun industri filem bukan sekadar soal memberi lesen, memberi dana bantuan, mahupun sekadar memastikan kutipan sesebuah filem itu mencatat kutipan jutaan ringgit. Lain industri, lain cara dan gayanya.
Pengarah filem kita pula berlumba untuk menyampai mesej dalam filem-filem mereka. Menghukum bahawa hitam itu jahat dan putih itu baik. Muncul filem-filem yang meletakkan watak Melayu, Cina, India dalam satu babak mesra di kedai kopi semata-mata mahu meletakkan filemnya sebagai filem Malaysia. Pesan kebenaran disampai dengan semudah menghukum bahawa buat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas jahat.
Karyawan kita keliru antara filem dengan kelas moral. Sinema kita semakin keliru.
Ini adalah sebahagian kecil kerisauan saya tentang kekeliruan kita, yang saya rasa juga menjadi kerisauan sebahagian besar dari mereka yang mencintai filem.
Namun, disebalik kerisauan saya ini, tidak saya nafikan masih ada filem yang pada saya membuktikan sinema masih wujud di tanah Merdeka ini. Mungkin ada beberapanya yang tidak saya senangi secara peribadi. Tetapi apa yang tidak saya senangi, tidak bermakna tidak baik untuk kita. Masih ada filem yang mampu buktikan bahawa masih ada karyawan dan filem yang baik dilahirkan di negara ini. Setidaknya, kita masih boleh memperolehi semula perasaan yang sama ketika kita menonton filem-filem yang baik dari P. Ramlee, Hussien Haniff, M. Amin, Salleh Ghani; dan beberapa lagi.
Sempena 80 tahun sinema Malaysia (jika benar), saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucap terima kasih kepada semua yang pernah dan sedang terlibat dalam bidang ini, dari kedudukan paling tinggi hingga ke paling rendah; dari yang terlibat secara langsung, atau sekadar menonton di pawagam, atau mungkin yang hanya menjual kacang putih di luar panggung; Terima kasih!
Terima kasih kerana telah meraikan filem sebagai tempat kalian berkarya, mencari rezeki, mengkritik, meluahkan ketidakpuasan mahupun apa sahaja. Terima kasih kerana memastikan filem Malaysia masih wujud, sekaligus memberikan ruang dan peluang kepada saya untuk menjadi pecinta filem Malaysia sejak 20 tahun yang lalu.
Kepada para karyawan, biar sehebat mana, atau seburuk mana filem kalian, filem-filem itu telah tercatat dalam sejarah. Teruskan membikin filem.
Walau apapun, saya atau lebih tepatnya kita, perlu menerima hakikat ini;
Filem harus kekal sebagai filem, dinilai sebagai filem. Bukan penyampai mesej, bukan juga medium syok sendiri, malah bukan tempat menjual mimpi. Ia hanyalah sebuah cerita yang diceritakan. Yang membezakan buruk baik filem kalian adalah cerita apa yang kalian kisahkan dan bagaimana kalian menyampaikannya. Itu saja.
Nampaknya, dalam usia 80 tahun, sepertimana Opah saya, sinema kita semakin keliru.
Azharul Azmir Kamarulzaman
Tue Jun 18 2013
Aaron-Wooi Yik Olimpian Tahunan 2024
Ia mengiktiraf pencapaian luar biasa mereka menyumbang pingat gangsa selepas menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Berakhirnya pemerintahan Baath Syria buka jalan kepada keamanan - Erdogan
Erdogan mengulangi komitmen Turkiye untuk terus menyokong golongan tertindas di seluruh dunia.
Kesan kenaikan cukai import minyak sawit oleh India bersifat sementara - KPK
Kenaikan itu sebahagian daripada usaha India melindungi harga minyak tempatan dan menyokong industri pertanian domestiknya.
Ketiadaan akauntabiliti antarabangsa bolehkan Israel lakukan jenayah terhadap rakyat Palestin - PM Mustafa
Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Wakil Khas Kesatuan Eropah untuk Proses Keamanan Asia Barat Sven Koopmans pada Rabu.
Qatar akan buka semula kedutaan di Damsyik selepas 13 tahun
Doha akan membuka semula kedutaannya di Syria tidak lama lagi selepas memuktamadkan pengaturan yang diperlukan.
Pusat Data Bagan Datuk bakal jadi pencetus perubahan ekonomi digital global
Ia bagi menyediakan infrastruktur kritikal untuk menyokong operasi perniagaan moden dan membuka peluang dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Rusia: Penipu curi puluhan juta dolar melalui pusat panggilan ditahan
Penipu yang mencuri puluhan juta dolar daripada penduduk lebih 20 negara melalui tiga pusat panggilan telah ditahan di Moscow.
Protes diteruskan hingga Suk Yeol dipecat
Para penunjuk perasaan kekal mengadakan protes di bandar Seoul agar Presiden Yoon Suk Yeol dipecat daripada jawatannya.
Cubaan serbu pejabat Presiden Yoon Suk Yeol gagal
Menurut media tempatan, pihak polis tidak dapat memasuki bangunan utama kerana gagal mencapai persetujuan dengan pihak perkhidmatan rahsia mengenai kaedah penggeledahan dan penyitaan.
Bekas Menteri Pertahanan Korea cuba bunuh diri
Menurut Ketua Pesuruhajaya Perkhidmatan Korea, Shin Yong Hae pada Rabu, Kim kini sedang menerima rawatan susulan dan berada dalam keadaan stabil.
Pada usia 80 tahun, sinema kita semakin keliru
Penulis Azharul Azmir Kamarulzaman melihat dalam usia 80 tahun, sepertimana Opahnya, sinema kita semakin keliru.