KUALA TERENGGANU: Tindakan dua remaja berusia 15 dan 17 tahun menunggang motosikal dengan melakukan aksi 'wheelie' mengundang padah apabila mereka ditahan Skuad 42 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada Sabtu.

Dua remaja tersebut dikesan melakukan aksi berbahaya itu ketika pasukan Skuad 42 IPK Terengganu membuat risikan dan pemantauan di sekitar Jalan Kuala Nerus pada jam 2.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, pasukan itu kemudian melihat sebuah motosikal bersama pemboncengnya mengangkat tayar hadapan (wheelie) di kawasan operasi pada jarak kira-kira 500 meter.

"Mereka kemudian ditahan pada jam 2.39 pagi ketika memberhentikan motosikal di hadapan sebuah rumah di Kampung Teluk Ketapang.

"Remaja yang berasal dari Kuantan, Pahang itu diterangkan sebab mereka ditahan dan mengakui faham kesalahan yang mereka lakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut Ismail, lelaki tersebut dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk menjalani ujian saringan air kencing dan keputusannya adalah negatif.

Beliau berkata, motosikal berkenaan turut disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan lima saman kepada pengguna jalan raya atas kesalahan tiada lesen memandu, tidak memakai topi keledar dan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.