HULU TERENGGANU: Tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang membunyikan ekzos dengan kuat sehingga mengganggu kententeraman awam mengundang padah selepas diberkas pihak polis.

Kumpulan motosikal itu ditahan ketika menuju ke sebuah kedai makan di Kampung Telaga, di sini, pada jam 12.18 tengah hari pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Ismail Man berkata, seramai 52 lelaki itu datang dari Kuantan menuju ke Kuala Berang untuk menikmati makan tengah hari di sebuah kedai.

Katanya, ketika sedang menuju ke kedai makan, beberapa penunggang dengan sengaja membunyikan ekzos motosikal dengan kuat dan bising.

Jelasnya, sepasukan polis yang melihat  melihat gelagat kumpulan motosikal itu bertindak menahan kesemua mereka untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, sebanyak 67 saman di atas pelbagai kesalahan trafik telah dikeluarkan kepada penunggang motosikal itu.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan mengubah suai ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tiada nombor pendaftaran, dan aksesori tidak lengkap.

Kesemua 52 motosikal itu dibawa ke IPD Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.