KUALA LUMPUR: Tindakan sekumpulan pelesit rempit remaja melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) mengundang padah apabila dicekup polis, pada Ahad.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, Operasi Khas Samseng Jalanan sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman itu berjaya menahan lapan lelaki tempatan secara berasingan bermula jam 12.45 tengah malam.

Menurutnya, tangkapan pertama bertindak menahan empat penunggang motosikal selepas dikesan melakukan aksi menundukkan badan, 'zig-zag' dan bersaing sesama sendiri di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

"Susulan itu, pihaknya mengesan dua penunggang motosikal yang melakukan aksi 'superman' di Lebuhraya Elite sebelum ditahan kira-kira jam 1.35 pagi.

"Operasi seterusnya turut berjaya menahan dua lagi penunggang kira-kira jam 2.20 pagi setelah dikesan melakukan aksi menundukkan badan,' superman' dan 'zig-zag' di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, semakan awal mendapati, dua penunggang terbabit berusia 16 dan 17 tahun dan masih bersekolah.

Katanya, pihaknya telah bertindak menyita kesemua motosikal terbabit jenis Yamaha Lagenda 115Z, Yamaha 135LC dan Yamaha 125Z.

"Dipercayai kesemua lapan penunggang terbabit adalah daripada geng yang berlainan dan mereka ini juga ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan di Seremban," katanya.

Tegas beliau, kesemua mereka berusia 16 ke 22 tahun masing-masing telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan Sepang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.


*Berita asal di Sinar Harian