TAWAU: Taktik dua wanita warga asing menyembunyikan dadah dalam bengkung pakaian dalam yang dipakai terbongkar apabila ditahan di kilometer 37 Jalan Tawau-Semporna, Rabu lalu.

Kedua-dua wanita berusia 38 dan 40 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi.

Ketika ditahan dua wanita itu menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 2,016.99 gram yang dibungkus dalam bungkusan berwarna coklat.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, kesemua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau ketika terserempak dengan kereta dinaiki suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan ke atas dua wanita mendapati terdapat bungkusan berwarna coklat yang disembunyikan di sebalik bengkung yang dipakai mereka.

"Ada dua bungkusan mengandungi 20 plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu," katanya pada sidang media pada Jumaat.

Tambah Peter, siasatan awal pihaknya mendapati, kesemua dadah itu dibawa masuk ke Tawau untuk diseludup ke negara jiran Indonesia.

Katanya, kesemua dadah yang ditahan dianggarkan bernilai RM72,720.

Kes di siasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.//