ALOR SETAR: Pagar kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon yang terletak di Jalan Anak Bukit, Pantai Johor disimbah dengan cat berwarna biru dan merah pada pagi Isnin.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, cat berkenaan mengotori sebahagian besar papan tanda kediaman tersebut selain pokok hiasan berdekatan.

Malah, lampu kecil ‘spotlight’ yang terdapat berdekatan papan tanda berkenaan yang dipasang pada pintu pagar dan difahamkan baru sahaja ditukar turut terkena tempias cat berkenaan.

Terdapat bungkusan plastik dipercayai digunakan untuk mengisi cat sebelum dilemparkan ke arah pagar di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan dalang di sebalik kejadian tersebut.

Pihak polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan memasang pita garisan keselamatan bagi mengelak orang ramai mendekati kawasan terbabit.

Ketika kejadian, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor difahamkan berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerajaan negeri. - Sinar Harian