ALOR SETAR: Kira-kira 20 pekerja di pejabat Jabatan Kimia Malaysia Kedah di sini, berhadapan detik cemas selepas paip gas helium dan nitrogen di dalam makmal mengalami kebocoran sekitar pukul 9 pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebaik menerima panggilan berkaitan kebocoran gas itu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya anggota di lokasi mendapati, berlaku kebocoran gas helium dan gas nitrogen yang digunakan untuk keperluan di makmal berkenaan.

"Komander operasi mengarahkan anggota membuat pemantauan di sekitar bangunan untuk memastikan keadaan selamat dan tiada mangsa yang terbabit serta mendapati pekerja tidak mengalami sebarang simptom," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota kemudian bertindak mengenal pasti kebocoran di saluran paip gas menggunakan snoop (alat pengesan cecair) di saluran yang terbabit dan mendapati berlaku kebocoran pada penyambung paip gas yang dikimpal.

Beliau berkata, anggota bertindak mengimpal semula besi penutup valve (injap) paip bagi mengawal kebocoran dari terus berlaku.

"Komander operasi memastikan kualiti indeks udara selamat sebelum operasi tamat sepenuhnya jam 1.56 petang," katanya.