Menyedari bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) tidak mencukupi untuk kegunaan petugas barisan harapan, kini tiba giliran pengacara nombor satu negara membantu menyediakan pelindung muka (face shield).

Menurut Datuk Aznil Nawawi, usaha itu merupakan inisiatif beliau bersama keluarganya bagi membantu menyediakan pelindung muka untuk kegunaan petugas kesihatan.

Beliau yang mesra disapa Pak Nil memberitahu, buat masa ini sasaran sebanyak 13,000 unit pelindung muka akan dihasilkan dalam tempoh terdekat.

"Pada awalnya, Pak Nil cuma membantu anak didik Pak Nil yang merupakan pelajar dalam program realiti Astro untuk membantu menyediakan pelindung muka ini sebab kami sekeluarga tidak melakukan apa-apa kerja buat masa sekarang ini.

"Selepas berjaya menghasilkan alat ini, Pak Nil rasa kami mampu untuk boleh buat sendiri dengan bantuan lapan orang ahli keluarga termasuk anak saya.

"Tetapi kami rancang untuk buat sendiri dengan sasaran sebanyak 13,000 unit dan sekarang ini kami sedang mencari pembekal yang boleh menyediakan bahan tersebut. Selepas dapat kami akan mulakan secepat mungkin," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Aznil menambah, usaha itu bagi mengisi masa lapang selain dapat membantu kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

"Tujuan kenapa Pak Nil berasa terpanggil untuk buat pelindung muka ini kerana kita tahu alat ini boleh dipakai sekali sahaja dan sudah tentu mereka memerlukan banyak sebab setiap hari mereka akan guna.

"Sekarang ini banyak pihak tampil bantu buat macam-macam PPE bukan sahaja dalam kalangan rakan artis, tetapi biarlah Pak Nil buat pelindung muka ini kerana selepas melihat cara-cara untuk menghasilkannya, Pak Nil yakin boleh buat dan sekurang-kurangnya dapat membantu petugas barisan hadapan," ujar beliau.

Menariknya, Aznil berkata, sesetengah alat pelindung muka itu juga ditulis dengan sebaris mesej bagi memberi semangat kepada semua petugas barisan harapan.