PAS dijangka berdepan cabaran bagi mewujudkan satu 'jambatan baharu' yang menghubungkan gabungan pakatan pembangkang - PAS, DAP dan PKR.

Menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia UUM, Dr Kamarul Zaman Yusoff, ia perlu memandangkan pakatan terbabit sudah kehilangan faktor penyatu mereka, bila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada Khamis.

Beliau berkata Allahyarham Nik Aziz sering menjadi perantara bila mana pemimpin pembangkang berdepan perbezaan pendapat.

Beliau menjangka jurang komunikasi antara ketiga-tiga parti akan longgar selepas ini, dan akan berlaku sedikit ketegangan dalaman antara parti gabungan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, kehilangan pemimpin berwibawa itu akan membuka ruang untuk anaknya, Nik Mohamed Abduh mengukuhkan lagi kedudukan dalam pemilihan Muktamar PAS, Jun nanti.

Sokongan mungkin diberi atas faktor simpati ataupun penghargaan atas jasa Allahyarham.