Pakatan Rakyat dipercayai masih belum mencapai kata sepakat dalam soal pembahagian kerusi dan calon yang akan ditampilkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Sidang media majlis pimpinan pakatan itu yang dijadualkan pada pukul 4 petang tadi dibatalkan dua jam selepas ia tertangguh.

"Sidang media dibatalkan kerana mesyuarat masih lagi berjalan dan tidak diketahui bila akan tamat," kata seorang pegawai di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat kepada wartawan yang menunggu.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok sebelum itu diihat meninggalkan ibu pejabat PKR sebelum diikuti oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Pakatan Rakyat akan mengumumkan baki kerusi yang belum diumumkan calonnya selepas pengumuman calon Barisan Nasional.

Antara kerusi yang belum diputuskan calon oleh Pakatan Rakyat adalah parlimen Telok Kemang, Kuala Pilah dan Rembau. Tiga kerusi itu ditandingi oleh PKR dalam pilihan raya umum 2008 tetapi ia hanya menang di Telok Kemang.

Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan juga dikatakan sedikit bermasalah apabila PKR kawasan Labu menuntut supaya kerusi berkenaan ditandingi oleh calon parti itu dan bukannya keputusan Pakatan Rakyat sekarang meletakkan calon Pas.

Selain itu, masalah juga dikesan timbul di kawasan DUN Sungai Acheh di Pulau Pinang melibatkan PKR dan PAs serta di DUN Johor Jaya di Johor melibatkan PKR dan DAP.

Masalah sama juga dikatakan berlaku di kerusi DUN Changkat Jering selepas Pas mengumumkan kerusi itu akan ditandingi oleh Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sedangkan kerusi itu pada 2008 ditandingi oleh PKR.

Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, Presiden PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memberi ingatan kepada Pakatan Rakyat supaya tidak berpecah belah bagi memastikan kemenangan pada PRU-13.

Katanya, apa yang penting bukannya populariti individu dan pakatan itu akan menerima padah jika terus berbalah sesama sendiri kerana pelbagai isu.

"Dalam Al-Quran ada dikatakan, kalau menang itu adalah kehendak Allah. Kalau kita kalah pun dengan kehendak Allah tetapi juga dengan kelemahan diri kita," katanya pada majlis mengumumkan empat calon PKR yang bertanding kerusi DUN di Terengganu.

Wan Azizah juga mengakui ada masalah menentukan calon Pakatan Rakyat bagi kerusi DUN Seberang Takit dan Kota Putera tetapi ia akan diselesaikan segera oleh PKR dan Pas.