UMNO Selangor melihat kemelut menteri besar di negeri itu semata-mata permainan politik Pakatan Rakyat (PR) untuk mengembalikan penguasaan PKR dan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia disifatkan tidak perlu diendah sehingga khabar angin perpecahan PR yang hangat tersebar akhir-akhir ini benar-benar berlaku.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya sentiasa bersedia dalam apa juga kemungkinan termasuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Ini semua gimik politik mereka. UMNO ambil keputusan untuk tunggu dan lihat perkembangan seterusnya.

"Mereka ini seperti suami isteri yang bergaduh. Kita tidak campur tangan apa-apa sehingga mereka bercerai. Selepas itu baru kita lihat perkembangan seterusnya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.

Noh diminta mengulas isu pertukaran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dijangka berlaku pada Ogos ini.

Bagaimanapun, PAS sebelum ini menyatakan pendirian mahu Abdul Khalid kekal menerajui Selangor selain DAP dilihat mengambil pendirian senyap dan memerhati sahaja.

Ketika ditanya kemungkinan berlaku pembubaran DUN oleh Abdul Khalid, Noh berkata, "Kita patuhi perlembagaan dan peraturan yang sudah ditetapkan, kita juga berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku selepas ini.

"UMNO Selangor sentiasa bersedia dan menunggu hasil mesyuarat atau sebarang pertemuan pakatan rakyat untuk tindakan seterusnya."

PAS sebelum ini memutuskan bahawa isu yang berkaitan dengan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor akan dibincangkan dalam mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos nanti.

Sebelum ini juga, penganalisis Ibrahim Suffian meramalkan pertemuan itu akan memutuskan keputusan PAS akan berpecah atau tidak dengan PR kerana dilihat tidak bersetuju dengan pendirian yang telah dibuat oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.