Majis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang bersidang pada Khamis sekali lagi menyatakan kesediaan untuk mengadakan dialog dengan Barisan Nasional (BN).

Menurut satu kenyataan oleh pemimpin ketiga-tiga parti itu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dialog tersebut adalah bertujuan bagi menyelesaikan masalah-masalah negara yang kian runcing termasuk bebanan hutang kerajaan, harga barang yang meningkat, jenayah serta isu perkauman yang disifatkan mereka sebagai ‘kian menular’.

Pada 30 Ogos, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengusulkan supaya satu dialog diadakan di antara PR dan BN bagi mencari titik penyelesaian isu-isu nasional.

Beliau, dalam satu ucapan perutusan Hari Kemerdekaan memaklumkan parti itu sedia mengenepikan perbezaan yang wujud ‘demi kepentingan dan masa depan negara’.

“Kami percaya adalah penting bagi Perdana Menteri untuk segera mengadakan pertemuan meja bulat di antara kerajaan BN dan PR bagi tujuan mencari penyelesaian isu-isu yang berbangkit,” kata Anwar di ibu pejabat PKR pada Jumaat.

Jelas Anwar meskipun Pakatan Rakyat mendapat undi majoriti rakyat serta menentang keras keputusan PRU13, namun mereka bersedia mengadakan perbincangan tersebut .

“Antara topik-topik yang akan dibincangkan ialah isu kaum dan agama yang mencetuskan ketegangan akhir-akhir ini, masalah ekonomi negara yang semakin merudum dan masalah jenayah yang semakin membimbangkan rakyat di seluruh negara,” kata ketua umum PKR itu.

Tambahnya lagi, perbincangan tersebut akan menyentuh tata kelola pemerintahan yang bersih dan bebas dari unsur-unsur rasuah serta pembasmian rasuah.

Anwar bagaimanapun menafikan dialog tersebut adalah bagi tujuan membentuk sebuah kerajaan perpaduan.