WASHINGTON: Presiden Joe Biden dalam reaksi pertamanya selepas pakej bantuan COVID-19 diluluskan mengucapkan terima kasih kepada anggota Senat.

Ini sekali gus membolehkan janji utamanya dikotakan dalam tempoh 45 hari pertama pentadbirannya.

"Apabila kita mengambil alih White House 45 hari lalu, saya berjanji kepada rakyat Amerika, bantuan sedang dalam perjalanan.

"Hari ini saya boleh katakan satu lagi langkah utama dilaksanakan bagi mengotakan janji ini. Selama lebih setahun, rakyat diminta untuk berdikari, kami sudah melihat betapa sukarnya perkara ini, dan sehingga ini 519,064 nyawa hilang akibat virus ini.

"Banyak kerusi kosong ketika sarapan ketika ini. Lebih 400 perniagaan kecil terpaksa ditutup.

"Jutaan lagi penduduk hilang pekerjaan walaupun bukan atas kesilapan mereka," katanya.

Senat Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu meluluskan pelan rangsangan COVID-19 berjumlah AS$1.9 trilion selepas undian pindaan berjalan lebih 25 jam.

Penggubalan rang undang-undang pakej rangsangan kedua terbesar dalam sejarah AS ini memberikan kemenangan pertama kepada Presiden Joe Biden.

BACA: Senat AS lulus pakej bantuan COVID-19 berjumlah AS$1.9 trilion

Ia meletakkan tanda aras yang tinggi bagi penggubalan RUU pemulihan infrastruktur dan pembuatan yang dijangka dilakukan pada musim bunga depan.