PERMAI: Pelepasan cukai khas, pemberian data percuma dilanjutkan

Hasimi Muhamad
Januari 18, 2021 09:24 MYT
Pelepasan cukai khas ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet dilanjutkan sehingga 31 Disember ini. - Gambar Astro AWANI.
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan pelepasan cukai khas ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lanjutan itu membabitkan pelepasan cukai khas sehingga RM2,500.
Selain itu, pemberian data 1 Gigabit secara percuma telah melibatkan kemudahan bernilai RM500 juta turut dilanjutkan sehingga hujung April tahun ini.
"Selain itu, pakej langganan khas untuk pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pengajian Malaysia (STPM) akan diperluaskan kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
"Pakej ini juga akan disediakan sehingga hujung April 2021. Kerajaan berharap kedua-dua usaha industri telekomunikasi tersebut akan dapat meringankan beban pengguna," katanya semasa mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada Isnin.
#PERMAI #Pelepasan cukai khas #pemberian data percuma #pembelian telefon bimbit #komputer #tablet #1 Gigabit #pakej langganan khas #SPM #STPM #Institusi Pengajian Tinggi