Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pakej itu juga berjaya mengurangkan bebanan aliran tunai hampir 11 juta rakyat Malaysia serta memberi sokongan kepada lebih 300,000 syarikat.

“Pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan kerajaan berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan, mengurangkan bebanan aliran tunai hampir 11 juta rakyat serta beri sokongan kepada lebih 300,000 syarikat.

“Pelaksanaan Pakej Prihatin masih berterusan sehingga kini. Walaupun sektor ekonomi telah dibuka tapi kita bersyukur wabak COVID-19 masih terkawal. Sehingga kini tidak berlaku peningkatan mendadak kes.

“Ini adalah kerana majikan, peniaga, pekerja dan pelanggan di premis perniagaan rata-ratanya mematuhi garis panduan dan SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan kerajaan,” katanya dalam siaran langsung pengumuman Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek, di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, pandemik COVID-19 memberi kesan kepada ekonomi dunia dan Malaysia turut terkena tempiasnya.

Menurut Muhyiddin, mengikut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 penganggur pada Mei 2020.

Tambah beliau, mengikut dara sebelum ini, kadar pengangguran negara di paras 3.9 peratus atau lebih 610,000 penganggur pada Mac 2020.

“Dengan mengambil kira situasi mencabar ini, ekonomi negara dijangka menguncup pada suku kedua tahun ini berikutan usaha pembendungan penularan wabak COVID-19,” katanya.