Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam digesa untuk mengadakan pertemuan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) secepat mungkin atas perintah mengadakan pemilihan baru untuk jawatan-jawatan penting parti.

Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan berkata, ROS telah membuat keputusan dan tugas pemimpin parti adalah mematuhi atau berbincang dengan ROS selain memaklumkan hasilnya kepada lebih 600,000 anggota MIC secepat mungkin.

"Ini bukan masanya untuk membincangkan siapa yang benar dan siapa yang salah.

"Ia bukan satu isu di antara pengadu dan beberapa orang lain (pemimpin yang menentang perintah ROS), tetapi presiden perlu ingat bahawa itu masa depan MIC dan ahli-ahlinya," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Pada 5 Disember lepas, ROS mengarahkan MIC untuk mengadakan pemilihan baru bagi 23 Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga jawatan Naib Presiden dalam tempoh 90 hari berikutan dakwaan penyelewengan dan pelanggaran perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.

Palanivel sebelum ini dilaporkan berkata, dia dan timbalannya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada ROS atas arahan untuk mengadakan pemilihan baru.

Palanivel juga dilaporkan memaklumkan mereka akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membincangkan isu itu.

"Kami perlu berbincang dalam tempoh 90 hari dan kita tidak mahu parti itu dibatalkan pendaftarannya," kata Palanivel selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja Khamis lepas.

Dalam pada itu Saravanan turut mempertikaikan peluang MIC untuk menang terhadap perintah ROS.

Saravanan juga mendakwa, perintah ROS turut menjadikan CWC dan jawatan naib presiden tidak sah.

"Sehingga presiden parti menyelesaikan penyelesaian atas perintah ROS, selagi itu semuanya tidak sah," katanya.

Tegas Saravanan lagi, beberapa pemimpin parti disifatkan 'bimbang' mengenai pemilihan semula dan ada yang cuba untuk 'menyesatkan' Palanivel.

"Presiden parti mesti berpegang kepada keputusannya sendiri (yang dibuat pada 18 Disember) dan memenuhi perintah ROS dan Menteri Dalam Negeri seperti yang dijanjikan olehnya pada 5 Januari akan datang.

"Presiden dan timbalannya perlu bertanggungjawab sepenuhnya kepada 600,000 ahli parti itu di seluruh negara.

"Kepimpinan parti patut berhenti membuang masa pada perkara-perkara lain yang kurang penting pada masa ini," katanya.

ROS sebelum ini telah mengarahkan parti mengadakan pemilihan baru dalam tempoh 60 hari kepada lapan bahagian iaitu Bayan Baru, Bukit Gelugor, Subang, Bandar Baru Kulim, Taiping, Tambun, Sepang dan Jasin.

ROS juga telah mengarahkan parti mengadakan semula pemilihan untuk Batu Kawan (jawatan timbalan pengerusi), Kota Raja (jawatan pengerusi bahagian), Tanjung Malim (jawatan pengerusi bahagian) dan Taman Koperasi Polis (jawatan pengerusi cawangan) dalam tempoh 30 hari.

Dua cawangan iaitu Merlimau Utara dan Rumah Pangsa Pekeliling Selatan juga perlu mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 30 hari.

ROS juga menasihatkan pihak berkenaan agar tidak mengadakan mesyuarat agung tahunannya sehingga perkara itu diselesaikan.

MIC sepatutnya mengadakan perhimpunan agung tahunannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula dengan sayap Wanita, Putera dan Puteri Ahad lepas dengan perhimpunan agung parti dijadualkan pada 13 dan 14 Disember.

Pemilihan MIC tahun lepas menyaksikan perebutan antara lapan pemimpin kanan bagi jawatan tiga naib presiden sementara 88 calon, antara mereka dua wanita, bertanding bagi 23 jawatan dalam CWC.

Pemilihan bagi jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk S Sothinathan, Datuk M Saravanan dan Datuk S Balakrishnan.