KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memalsukan dokumen daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Beliau berkata, selepas mendengar dan meneliti secara maksimum hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Peter.

Azura berkata keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan menyatakan bahawa syarikat Peter iaitu Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan fasa pertama di UMS dan perkara tersebut tidak dinafikan pihak pembelaan.

"Terdapat keterangan mencukupi bahawa tertuduh telah menipu saksi pendakwaan ketiga, kelapan dan kesembilan dengan mengaburi pemikiran mereka mengenai 'smart partnership' antara anak syarikat milik penuh UMS, Ulink Property Sdn Bhd dan syarikat milik Peter, Asli Jati," kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat untuk menipu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Haresh Prakash Somiah dan Francine Cheryl Rajendram manakala peguam S. Devanandan mewakili Peter.


BACA: Peter Anthony mengaku tidak bersalah kes pecah amanah RM15.5 juta 

BACA: Peter Anthony dimasukkan ke hospital, pendakwaan ditangguh 10 Julai 

BACA: Peter Anthony dikuarantin, perbicaraan ditangguh 3 Mei depan 

BACA: Sokongan kepada syarikat Peter Anthony, UMS hantar surat nafi pada Najib - Saksi 

BACA: Perbicaraan Peter Anthony: Najib marah kerana rasa diperdaya 

BACA: Peter Anthony diperintah bela diri tuduhan palsukan surat pejabat UMS 

BACA: Peter Anthony lantik peguam baharu 

BACA: Lantik peguam baharu, prosiding bela diri Peter Anthony ditangguh 

BACA: Peter Anthony enggan tandatangan notis tangkapan SPRM 

BACA: Kes Peter Anthony palsu dokumen: Pembelaan tutup kes, hujahan lisan 31 Mac 

BACA: Keputusan Peter Anthony palsukan dokumen pada 26 Mei 

BACA: Keputusan kes Peter Anthony palsukan dokumen diketahui esok 

Pada 18 Februari lepas, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemukakan tiga saksi dengan Peter sebagai saksi pembelaan pertama pada prosiding yang bermula 9 Feb lepas.

Dua saksi lain ialah pembantu peribadi Peter, Imy Christopher, 36, dan pengurus forensik digital di Siaga Informatics Sdn Bhd, Nurul Aiman Azmail, 34.

Pada peringkat pendakwaan pula, 15 saksi termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah di UMS (bagi tempoh 3 April 2013 hingga 31 Julai 2018), memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 5 April 2021.

Pada 14 Dis 2021, mahkamah memerintahkan Peter, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.