KOTA KINABALU: Seorang pengurus syarikat didenda RM6,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu tuntutan bekalan minyak petrol dan diesel berjumlah RM172,980 pada 2018.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan terhadap Hassan Ho Abdullah, 36, yang mengaku salah atas lapan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Tertuduh merupakan pengurus syarikat di Sinaran Transporter dan Setia Gemilang Enterprise, syarikat dilantik membekal dan mengedar petrol RON 95 dan diesel pada 2018 di bawah Program Penyeragaman Harga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Majlis Harga Barang Negara (MHBN).

Hassan Ho dituduh mengemukakan tuntutan bekalan minyak ke titik jualan atau point of sale (POS) untuk bulan Ogos, September, Oktober dan November 2018 melalui syarikat Sinaran Transporter yang kesemuanya berjumlah RM84,420 di KPDNHEP Cawangan Kudat pada 27 November tahun yang sama.

Tertuduh juga didakwa mengemukakan tuntutan bekalan minyak ke POS untuk empat bulan sama melalui syarikat Setia Gemilang Enterprise kesemuanya berjumlah RM88,560 di tempat dan tarikh yang sama.

Semua dokumen tuntutan tersebut mengandungi surat palsu iaitu surat akuan dan pengesahan milik stesen servis Napson yang dokumen itu dikemukakan sebagai tulen kepada KPDNHEP.

Pemilik stesen servis Napson di Kota Marudu, Napson Tahir mengesahkan surat akuan dan pengesahan yang digunakan oleh tertuduh untuk membuat tuntutan adalah palsu dan tidak dikeluarkan oleh pihaknya.

Tertuduh ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 20 Mei tahun lepas.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Singh manakala tertuduh diwakili peguam Amlin Nohin.

Abu Bakar dalam penghakimannya menasihatkan tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan dan melaksanakan tender diperoleh dengan sebaik-baiknya, serta menjadikan hukuman itu sebagai pengajaran.

-- BERNAMA