IPOH: Perak mahu memperbanyakkan pameran kebudayaan dan tradisional sebagai salah satu usaha untuk merancakkan sektor pelancongan yang baru bermula selepas pandemik COVID-19.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, usaha itu akan dilakukan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak seperti pemain industri, pusat membeli belah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, usaha itu akan menjadi pelengkap kepada industri pelancongan yang kini semakin pulih.

“Kita sangat mengalu-alukan usaha yang dilakukan dan berharap lebih banyak acara seumpama ini akan diaturkan sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis promosi Tahun Baharu Cina 2022 di pusat membeli belah AEON Midtown Falim, di sini, hari ini.

Menurut Nolee Ashilin, pihaknya juga akan mengambil kesempatan daripada perayaan-perayaan besar untuk turut menarik lebih ramai pelancong ke Perak.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu, beberapa acara telah dirancang sempena perayaan besar seperti pelepasan tanglung sempena Pesta Kuih Bulan.

“Setiap perayaan besar ini bukan sahaja dilihat sebagai punca pendapatan tetapi juga lebih kepada perpaduan kaum di negara ini.

“Kita faham, tanpa pendedahan dan pendidikan mengenai budaya yang agak berbeza, tetapi sebenarnya banyak mesej yang sama yang diterapkan dalam semua agama dan bangsa,” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya keadaan mengizinkan, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan banyak acara kebudayaan bagi menarik kedatangan pelancong.