KUALA LUMPUR: Segala pandangan dan seruan yang dinyatakan melalui Titah-titah sebelum ini, merupakan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berpelembagaan, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Beliau berkata, ia termasuk pandangan Tuanku Baginda dan Raja-raja Melayu mengenai keperluan mengadakan persidangan Parlimen dengan segera; perbahasan Proklamasi Darurat serta dasar dan kewangan negara; dan keperluan menjaga kesejahteraan rakyat dan menangani COVID-19.

Ahmad Fadil berkata, segala pandangan dan seruan itu, dizahirkan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya.

“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini, merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 
Sumber Facebook IstanaNegaraOfficial

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim, dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, pagi Selasa.

BACA: Agong ulangi titah, Parlimen perlu bersidang secepat mungkin - Istana Negara

Dalam kenyataan yang sama, Ahmad Fadil berkata, pertemuan itu bermula pada pukul 11 pagi, dan berlangsung selama satu jam.

Turut menyertai sesi itu ialah ialah Timbalan Speaker Dewan Negara Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, dan dua TImbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Dalam kenyataan tersebut, Ahmad Fadil berkata, Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan oleh Kerajaan dan Parlimen Malaysia.

Pandangan itu, jelas beliau lagi, bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Ahmad Fadil berkata, Baginda menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Parlimen ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang.

Ia bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.