KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong pada Rabu melancarkan karya digital pertamanya "P.Zero1".

Menurut Pandelela, projek seni non-fungible token (NFT) itu membuka sejarah buatnya mencipta karya digital buat peminat.

"P.Zero1", jelas Pandelela, menceritakan kisah hidupnya sebagai seorang gadis kampung Bidayuh kepada seorang olahragawati yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

"'P.Zero1', P itu singkatan kepada nama saya Pandelela, 'Zero to 1' itu pula bermaksud dari seorang yang biasa kepada seorang yang berjaya mencerminkan perjalanan yang telah saya harungi selama ini. 

"Semua tahu bagaimana saya memulakan kerjaya pada awalnya.

"Demi mengejar cita-cita, saya berlatih dengan begitu tekad sehingga dapat mencapai matlamat sekali gus mencipta sesuatu buat diri sendiri di peringkat antarabangsa," jelasnya.

Justeru, ujar Pandelela, menerusi NFT itu, peminatnya berpeluang untuk menjadi pemilik tunggal karya digital itu yang akan dilelong menerusi pasaran NFT digital, OpenSea.

"'P.Zero1' juga bermaksud sesuatu ciptaan baharu yang saya lakukan untuk diri saya, serta berbangga dapat melancarkan NFT pertama saya hari ini," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran NFT "P.Zero1" di ibu negara pada Rabu.

Lelongan NFT "P.Zero1" Pandelela akan disiarkan secara langsung selama tujuh hari bermula hari ini hingga 31 Ogos. 

Peminat boleh membida untuk menjadi pemilik eksklusif NFT itu yang akan diserahkan sendiri oleh Pandelela.

NFT "P.Zero1" itu direka oleh artis Nichola Chuan dan diterbitkan melalui syarikat pengurusan Knight Communications dengan kerjasama Prim Sports NFT.