PUTRAJAYA: Jawatankuasa Aduan (JKA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan 31 penambahbaikan tatacara kerja bagi memastikan isu penyelewengan serta salah laku dalam kalangan pegawai tidak berulang pada masa hadapan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, antara syor itu bagi menambah baik amalan berkaitan ketidakpatuhan dalam pengendalian barang kes, kelemahan pengendalian dokumen terperingkat, pemeriksaan prosedur siasatan dan keperluan logistik.

"Selain itu, jawatankuasa ini juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti kelemahan, tatacara kerja suruhanjaya yang mungkin menimbulkan aduan, selain memberi cadangan dan syor yang difikirkan patut mengenai tatacara kerja suruhanjaya.

"JKA bertanggungjawab memantau pengendalian oleh suruhanjaya berkaitan aduan mengenai salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai suruhanjaya," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada Rabu.


Pecah Amanah | Pegawai Kanan SPRM didakwa seleweng AS$6.94 juta

Mengulas lanjut, Abu Zahar memberitahu, SPRM telah melaksanakan tindakan paling maksimum dalam memastikan kawalan dalaman terhadap pegawai seperti mewujudkan Pelan Anti Rasuah SPRM (2021-2025), kod etika dan tatakelakuan SPRM di samping melaksanakan beberapa program pengukuhan integriti.

"SPRM memberi jaminan bahawa tidak akan berdiam diri mengenai isu seumpama ini dan telah banyak perkara dilakukan termasuk memantau hidup mewah pegawai, memantau ketulenan pengisytiharan harta pegawai, ujian dadah serta ketum.

"Ia juga termasuk memantau kes membabitkan tahap hutang yang serius dan pegawai bermasalah yang dilaporkan pengarah bahagian atau negeri,” katanya.

Katanya lagi, SPRM juga menubuhkan satu cawangan khas iaitu jabatan dalaman sebagai langkah pencegahan untuk mengesan, menyiasat, mengambil tegas terhadap mana-mana pegawai yang disyaki terbabit dengan jenayah.

Abu Zahar berkata, LPPR juga akan terus memantau perkembangan isu berkaitan dan memberi pandangan dalam membentuk sebuah suruhanjaya berimej serta berintegriti tinggi.