Penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris yang diuar-uarkan sebagai Papagomo mengalu-alukan kenyataan polis bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas penyebar fitnah di laman sosial bertujuan mencetuskan huru-hara pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Papagomo berkata ini kerana perkara ini semakin berleluasa dan harus dibendung di peringkat akar umbi.

“Saya memang amat bersetuju dengan tindakan pihak polis untuk menyiasat fitnah di laman social.

“Sebagai contoh pemilik blog Milo Suam akan disiasat kerana kesalahan berkaitan pilihan raya termasuk menyebarkan maklumat palsu. Ini memang patut kerana pemilik blog itu selalu menyebarkan fitnah.

“Apa yang dilaporkan haruslah berlandaskan fakta sahaja. Bukan fitnah,” katanya kepada Astro Awani.

Pada 21 Mac lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog www.papagomo.com.

Pada Isnin lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata Unit Pelan Tindakan Media telah mengesan pemilik blog Milo Suam yang mendakwa anggota polis mengundi lebih awal.

Pemilik blog tersebut dilaporkan akan disiasat mengikut Akta Pilihan Raya 1958, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menyebar maklumat tidak benar.

Sementara itu, Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof menggesa penyebaran maklumat seumpama itu dihentikan,

"Sesiapa yang mendapat maklumat tidak sahih perlu merujuk kepada polis dan melaporkan perkara itu kepada kami. Ini memudahkan tugas polis dan mengelakkan penyebaran berita tidak benar," katanya.

Sejak penamaan calon 20 April lalu, polis menerima 2,035 laporan berkaitan PRU-13. Berdasarkan itu 65 tangkapan dibuat pada Sabtu lepas dan 11 tangkapan semalam di seluruh negara, katanya.