KUALA LUMPUR: Negeri Kelantan, Sabah, Sarawak dan Perak merupakan antara negeri yang merekodkan kadar kemiskinan paling tinggi di Malaysia.

Bahkan, empat negeri itu juga merekodkan kadar kemiskinan tegar tertinggi berbanding negeri lain, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith.

Tambah beliau, negeri yang mempunyai kadar kemiskinan paling rendah pula adalah Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan daripada Nga Kor Ming (PH - Teluk Intan) yang mencadangkan kerajaan ‘mengajar cara menangkap ikan, bukan hanya beri ikan’ kepada rakyat.

“Saya bersetuju dengan apa yang Yang Berhormat kata tadi. Daripada kita memberi ikan, lebih baik kita mengajar rakyat cara bagaimana untuk menangkap ikan.

“Persoalannya sekarang dalam temph pandemik ini, tumpuan adalah untuk kita menangani masalah ekonomi yang semakin meruncing.

“Sebelum kita boleh mendidik mereka untuk menangkap ikan, saya percaya ramai di kalangan mereka ini yang berada di bawah garisan kemiskinan ini yang perlu dibantu secara langsung sebelum mereka ini diberikan pendidikan asas untuk mencari makanan sendiri,” katanya.

Beliau sebelum itu menjawab soalan daripada Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS - Batang Lupar).

Rohani dalam soalannya meminta menteri berkaitan menyatakan adakah data yang dikumpul oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menggambarkan situasi sebenar kepelbagaian dimensi kemiskinan yang wujud di Malaysia.