KUALA LUMPUR: Wanita dinasihatkan untuk terus melaporkan kepada pihak berkuasa dan tidak terus memendam perasaan sekiranya berlaku gangguan seksual kepada mereka.

Ini kerana menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, kementeriannya mendapat maklumat bahawa agak kurang laporan gangguan seksual dilaporkan kepada mereka.

Tegasnya, sekiranya tidak dilaporkan, agak sukar untuk pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya ingin mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk memastikan laporan, sebab kita dapat makluman kurang laporan dilaporkan kepada kita.

“Cuma saya ada statistik berkaitan kes dikendalikan di bawah Kanun Keseksaan  sehingga 2021. Di bawah Seksyen 354, ada 474 kes dikendalikan, yang melibatkan Seksyen 377D, ada 35 kes dan Seksyen 509, ada 266 kes.

“Semuanya ada 775 kes. Ini laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Noorita Sual (PH - Tenom) dalam Sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Sasar bentang RUU Gangguan Seksual sebelum 16 Disember - Siti Zailah


Dalam pada itu, beliau berkata kementerian mensasarkan pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual bagi bacaan kali pertama semasa Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat yang bersidang dari 25 Oktober hingga 16 Disember 2021.

Begitupun, katanya, ia tertakluk kepada kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara dan juga persetujuan daripada Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Proses semakan RUU adalah satu proses yang perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan RUU ini benar-benar mampu menangani kelompangan perundangan sedia ada dan isu-isu pelaksanaan yang akan timbul,” ujarnya.

Katanya lagi, draf RUU itu digubal secara kolektif melalui sebuah pasukan projek khas dengan penyertaan pelbagai pihak terdiri daripada wakil kementerian dan agensi berkaitan, badan-badan bukan kerajaan serta ahli-ahli akademik.