KUALA LUMPUR: Sebanyak 98.18 peratus kakitangan awam telah lengkap menerima vaksin COVID-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, setakat ini dianggarkan hanya 1.82 peratus daripada 1.6 juta kakitangan awam masih belum mengambil vaksin.

Bagaimanapun, jelas beliau, program imunisasi masih lagi berjalan dan ia dibuat secara sukarela termasuk kepada kakitangan awam.

"Walau bagaimanapun, jika kerajaan ingin mewajibkan atau memastikan semua 1.6 juta ini menerima vaksin,  ia perlukan beberapa syarat atau peraturan dan penglibatan supaya perkara ini dapat dilakukan dengan cara berhemah," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Shahruddin Md Salleh (PEJUANG-Sri Gading) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tentang status dan hak jika penjawat awam tidak mahu mengambil vaksin dan adakah Kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam tersebut.

Menjawab soalan tambahan Shahruddin pula, sama ada kerajaan bercadang untuk melakukan ujian saringan kendiri secara berkala kepada kakitangan awam dan guru, Abdul Latiff berkata: "Cadangan yang baik, kita boleh bawa dan bincang dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusi oleh Perdana Menteri."