PUTRAJAYA: Kerajaan menerusi Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) sedang meneliti untuk meluaskan skop hukuman bagi kesalahan-kesalahan syariah supaya ia tidak lagi terikat kepada denda dan penjara.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, hukuman alternatif seperti pelaksanaan kerja sosial dalam proses penelitian.

Beliau memberitahu, ia antara syor penambahbaikan aspek hukuman yang dikemukakan Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) dalam usaha meningkatkan dan memartabatkan Mahkamah Syariah secara menyeluruh.

Beliau memberitahu, ia akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penjara melalui Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta 461).

"Dalam hal ini, satu Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib Bagi Pesalah Syariah sudah pun disediakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada September 2021 sebagai rujukan bersama mahkamah Syariah negeri-negeri dan Jabatan Penjara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai usaha memartabatkan pentadbiran Mahkamah Syariah yang menyeluruh, termasuklah dari segi hukuman kesalahan jenayah syariah dan pelantikan hakim syarie.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi sama ada kerajaan ada cadangan untuk memisahkan jawatan Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Mohd Na'im berkata, kerajaan akan meneliti cadangan itu.

"Perkara ini adalah sebahagian daripada syor dan syor JKMMS, kita kan teliti akan usaha sudah tentu ada kebaikan apabila fungsi ketua pengarah sebagai kuasa pentadbir dan Ketua Hakim Syarie dipisahkan.

"Pun begitu perkara ini perlu diteliti dan dihalusi, syor ini akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk mendapat perkenaan," ujarnya.

Ketika ini kedua-dua jawatan itu dipegang individu yang sama.