KUALA LUMPUR: Cadangan supaya diwujudkan satu akta spesifik bagi menangani isu atau masalah berkaitan perkauman, atau cubaan menghasut untuk mewujudkan ketegangan antara kaum boleh dipertimbangkan, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Namun, Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu berkata, kerajaan buat masa ini lebih bersifat mendidik dan memperkasakan ekosistem perpaduan selari dengan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030

Buat masa ini, beliau berkata, undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani isu berita palsu, atau hasutan termasuk usaha menimbulkan ketegangan kaum di atas talian.

"(Akta spesifik itu) boleh dipertimbangkan, Cuma kita ambil pendekatan lebih kepada mendidik dan memperkasakan ekosistem perpaduan. Saya rasa mengenai isu hate speech (ucapan kebencian) sudah cukup kita manfaatkan peruntukan undang undang saya sebutkan tadi untuk tangani isu sensitif libatkan kaum dan agama.

“Kita tumpukan tindakan Pelan Tindakan Perpaduan Negara dan pelan lima tahun (Dasar Perpaduan Negara) yang Perdana Menteri lancarkan. Rakyat Malaysia dengan demokrasi matang mampu ambil kira pendekatan ini berbanding pendekatan punitive, menegah,” katanya lagi.

Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian ketika menjawab soalah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof, yang mahu mengetahui sekiranya ada usaha mewujudkan Akta Keharmonian Nasional.

Dalam pada Itu, beliau berkata, usaha untuk merealisasikan agenda perkauman yang harmoni memerlukan penglibatan semua pihak - baik kerajaan, pembangkang, mahasiswa, mahupun pertubuhan bukan kerajaan.

"Memang bila cakap tentang perpaduan negara atau nasional, ia libatkan rentas kementerian agensi. Tak mampu laksanakan sendiri, perlu kerjasama bukan saja kerajaan tapi pembangkang.

“Di peringkat sekolah, kita adakan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, di sekolah-sekolah pun dah ada Sekretariat Rukun Negara, benar-benar merakyatkan dokumen penting, pastikan anak-anak muda (memahami) makna perpaduan yang cukup berharga ini," katanya lagi.