Parlimen lancar buku 'Dinamika Mendepani COVID-19'

Bernama
Julai 26, 2022 10:30 MYT
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun (tengah) menunjukkan buku selepas melancarkan Majlis Pelancaran Buku "Dinamika Parlimen Malaysia mendepani COVID-19" di Bangunan Parlimen hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Parlimen hari ini melancarkan buku yang mendokumentasi aspek pengurusan institusi itu dalam memastikan Parlimen terus bersidang dengan selamat ketika menghadapi wabak COVID-19.
Buku berjudul 'Dinamika Parlimen Malaysia Mendepani COVID-19' yang dilancarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun itu merangkumi langkah-langkah kawalan pencegahan penularan wabak COVID-19 di Parlimen serta persidangan mengikut norma baharu.
Menurut Azhar, penghasilan buku itu boleh menjadi rujukan dan panduan kepada semua pihak dalam mengurus dan menyelaras badan perundangan itu ketika mendepani cabaran wabak pada masa akan datang.
"Persidangan Parlimen berjaya dilaksanakan dan impak penularan adalah pada tahap minimum. Parlimen Malaysia menjalankan tanggungjawabnya sebagai tonggak legislatif negara pada masa pandemik melanda," katanya ketika melancarkan buku itu di Bangunan Parlimen, hari ini.
Beliau berkata Parlimen turut merakam penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu pendokumentasian itu khususnya Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri; dan Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Nor Yahati Awang.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #Dinamika Parlimen Malaysia Mendepani COVID-19 #Azhar Azizan Harun #Khairy Jamaluddin