KUALA LUMPUR: Lembaga Penapisan Filem (LPF) akan kekal diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan kandungan filem yang ditayangkan kepada umum tidak melanggar empat aspek utama yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata keselamatan dan ketenteraman awam merupakan aspek tunjang yang menjadi keutamaan LPF dalam menilai kandungan sesebuah filem sebelum ia ditayangkan kepada umum yang menjadi asas LPF diletakkan di bawah KDN.

Selain itu, tiga lagi aspek utama lain yang menjadi fokus LPF adalah keagamaan; sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.

"LPF tidak diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) kerana fungsi LPF adalah terhad kepada penapisan kandungan filem yang telah siap untuk ditayangkan kepada umum.

"LPF tidak terlibat dalam urusan pembikinan atau pengeluaran filem sebagaimana yang telahpun sedia dilaksanakan secara langsung oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), iaitu salah satu agensi di bawah KKMM yang melaksanakan fungsi khusus untuk membangunkan industri filem tempatan berdasarkan kepada peruntukan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu sebab-sebab LPF bukan di bawah KKMM memandangkan hal-hal berkaitan pembikinan filem tertakluk di bawah bidang kementerian tersebut dan berapakah filem telah diharamkan pada tahun 2020 dan 2021.

Mengulas lanjut, Ismail berkata terdapat enam filem yang diberi keputusan Tidak Lulus Untuk Tayangan (TUT) manakala bagi tahun 2021 terdapat satu filem yang diberikan keputusan TUT.

Filem-filem tersebut adalah:

1. Daulat (Malaysia), Lacuna Pictures Sdn Bhd
2. Real Love (Perancis), Kedutaan Perancis di Malaysia
3. Shubh Mangal Zyada Saavdhan (India), Antenna Entertainments Sdn Bhd
4. Pallu Padama Paathuka (India), Malik Streams Corporation Sdn Bhd
5. White Eye (Israel), 42nd Pictures Sdn Bhd
6. Boluomi (Taiwan), Jazzy Group (M) Sdn Bhd
7. Battle At Lake Changjin (China), Yusari Syudions Sdn Bhd.