KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk memindahkan pangkalan  Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke lokasi lain meskipun kem-kem sedia ada ini berada di kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan, kesemua pangkalan itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi pengoperasian penerbangan pesawat serta piawaian ketat yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Menurutnya, landasan terbang di pangkalan itu juga mengikut standard piawaian ICAO yang diaudit secara berkala oleh pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan TUDM sendiri.

"Untuk makluman, faktor keselamatan penerbangan di kesemua pangkalan-pangkalan TUDM telah mengambil kira kriteria keselamatan seperti keselamatan persekitaran landasan terbang termasuk laluan berlepas dan mendarat.

"Kesemua landasan terbang di pangkalan-pangkalan TUDM juga mengikut standard piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang diaudit secara berkala oleh pihak Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM) dan TUDM sendiri.

"Walaupun berada dalam kepadatan penduduk yang tinggi, selagi ia menepati piawaian maka tiada keperluan untuk pihak Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memindahkan atau membuat keputusan drastik kedudukan pangkalan kem-kem TUDM sedia ada," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), sama kerajaan akan mengkaji semula status lokasi pangkalan-pangkalan TUDM yang kini berada di kawasan berkepadatan penduduk tinggi serta tidak lagi strategik.

Ia seperti di Butterworth, Labuan dan Kuantan, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini sekiranya jet pejuang terhempas kerap berlaku, seperti nahas pesawat Hawk 108 yang baru terjadi pada 16 November 2021 lalu dan lain-lain insiden di pangkalan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, antara SOP yang perlu dipatuhi adalah prosedur piawaian anak kapal seperti aspek latihan, kemahiran dan kompetensi, prosedur kejuruteraan yang merangkumi aspek penyelengaraan dan kelayakan terbang (airworthiness) bedasarkan Standard Aviation Authority dalam negara dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pengeluar produk tulen (OEM).