KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang supaya memberikan perhatian segera dan serius terhadap jurang implementasi di peringkat institusi seperti perjawatan khusus pegawai kehakiman Jusa C bagi Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata, ia adalah bagi membaiki sistem pelaporan dan penyediaan pelatihan khusus di Institusi Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mempercepatkan proses kehakiman.

Menurut Azalina, ini kerana kerana sejumlah 1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan dalam tempoh Januari sehingga Jun 2020 dan setakat 31 Ogos lalu dengan sejumlah 2,162 kes aktif masih dalam proses perbicaraan.

"Saya menyambut baik hasrat kerajaan untuk memperuntukkan RM13 juta khas untuk memperkasakan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) termasuk mewujudkan 100 perjawatan baharu dan inisiatif Skuad Waja.

“Bagaimanapun, saya ingin menimbulkan apa gunanya kejayaan menyiasat kalau ia tidak dapat diukur dengan kejayaan sabitan. Bererti penyiasatan itu penting tetapi juga sabitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, disebabkan itu adalah lebih baik bahagian kehakiman juga diberikan pengkhususan bajet dengan kewujudan hakim Jusa C ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Bajet 2022 menyatakan bahawa kerajaan bersetuju memperuntukkan RM13 juta khas bagi memperkasakan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah.

Katanya, peruntukan itu adalah bagi memastikan sebarang bentuk keganasan dan jenayah terhadap golongan kanak-kanak dan wanita dapat dihentikan.