KUALA LUMPUR: Polis menahan 18 individu termasuk empat wanita warga asing ketika sedang asyik mengadakan parti liar di sebuah kondominium di Jalan Metro Prima Barat, awal pagi Rabu.

Siasatan awal mendapati, promosi parli liar itu yang dilakukan menerusi aplikasi WeChat itu dikenakan kadar bayaran RM150 bagi sewaan satu bilik untuk tempoh tiga jam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai memberitahu, polis mendapati suspek berusia 27 tahun yang merupakan penganjur parti liar itu dipercayai menjalankan aktiviti itu sejak awal bulan ini.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek yang berusia 19 hingga 42 tahun itu sedang melayan muzik kuat sambil minum alkohol.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis turut merampas satu bungkusan serbuk disyaki dadah dengan anggaran berat 27.5 gram," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Menurut Eng Lai, ujian saringan air kencing mendapati 12 daripada suspek itu positif dadah jenis amfetamin, metamfetamin dan ketamin.

Beliau turut memaklumkan, polis mengeluarkan kompaun RM4,000 bagi setiap seorang di bawah Peraturan 17, Peraturan - Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berj angkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan  Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021 .

"Kita juga menahan reman mereka hari ini, bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen  39A(1)  Akta Dadah  Berbahaya 1952 dilakukan," tambahnya.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya tidak terjebak dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang termasuk melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).