PAS hari ini mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Ia bagi menggantikan penyandang jawatan itu, Tan Sri Abdul Khalid yang dipecat dari PKR, 9 Ogos lalu.

Selain itu, PAS turut mencadangkan empat ahlinya supaya terus berkhidmat sebagai Exco dalam kerajaan negeri Selangor, namun tidak menuntut jawatan Menteri Besar sebagai tanda komited terhadap Pakatan Rakyat (PR).

PKR pada 22 Julai lalu menamakan Wan Azizah sebagai calon baru bagi jawatan tersebut.

Tindakan itu disokong DAP.


PAS cadang Wan Azizah and Azmin Ali sebagai MB Selangor baharu

Teks ucapan kenyataan media itu dibacakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sebelum itu, PAS mengadakan mesyuarat pada kira-kira jam 10:00 pagi bagi membincangkan isu Menteri Besar Selangor.

Mesyuarat itu dikatakan menjadi penentu kepada penyelesaian kemelut yang sedang berlaku di Selangor selain penanda aras bagi kerjasama ketiga-tiga parti dalam PR.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu memberitahu, PAS tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar Selangor daripada PKR dan terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam melaksanakan kerjasama politik Tahaluf Siyasi.

"PAS juga menghormati semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dalam mencadangkan nama calon Menteri Besar," katanya.

Dalam pada itu, PAS mengarahkan empat anggota Exco daripada partinya untuk kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid.

"Ia memastikan khidmat kepada rakyat tidak terjejas," ujarnya.

Pada Sabtu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub membayangkan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat membawa keputusan gembira dan harapan baru kepada PAS dan PR dalam menyelesaikan isu Menteri Besar di Selangor.