PAS perlu memperincikan langkah seterusnya dalam politik demi survival politik dalam Pakatan Rakyat (PR).

Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL), Dr. Amir Saifude Ghazali berkata, pemimpin PAS perlu melihat masa hadapan sama ada terus bersaing di atas pentas politik negara atau berkubur begitu sahaja.

"Ia perkara biasa dalam politik negara. Persaingan kuasa antara PR dalam pilihan raya sebelum ini. PR harus lihat kenapa Barisan Nasional (BN) menang sebelum ini

"Mereka perlu memperincikan langkah seterusnya, apakah bersaing dengan BN atau tinggalkan BN sebagai kuasa besar," katanya semasa Awani 7.45 pada Rabu.




Dr. Amir mengulas mengenai situasi semasa Selangor selain jangkaan keputusan pertemuan pemimpin PAS pada 17 Ogos.

Jelasnya, perhatian rakyat dilihat lebih tertumpu kepada isu politik Selangor kerana pengaruh negeri itu sendiri dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

"Itu gambaran Selangor, ia sebuah negeri yang seolah-olah mewakili negara," ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, pendirian PAS yang tidak mahu menukar Abdul Khalid dilihat gambaran sokongan rakyat terhadap menteri besar berkenaan.

Bagaimanapun katanya, PAS perlu melihat kepentingan PR sendiri dalam menangani isu ini di peringkat nasional.

"Mereka perlu menetapkan apa isu yang ingin dibangkitkan semasa mesyuarat nanti dan memikirkan konsisten PR untuk pembangunan Selangor," jelasnya.

Katanya, PR juga dilihat perlu persetujuan dan menyelesaikan sebarang masalah berhubung isu menteri besar dari aspek kepentingan rakyat.