Pas bakal menampilkan lebih 50 peratus calon muka baharu, termasuk calon bukan Islam, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, barisan muka baharu itu terdiri daripada calon orang muda dan calon wanita.

Katanya, sehingga kini Pas sudah memuktamadkan senarai calon yang bakal dipertaruh di 130 kerusi Parlimen dan barisan calon itu akan diumumkan pada 19 April ini.

"Ya, ramai calon muda. Lebih 50 peratus. Termasuk calon bukan Islam. Calon wanita akan ditambah," katanya.

Abdul Hadi beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Manifesto PRU14 Pas Melaka di Dewan Muaalim Tuan Guru Hj Abdul Wahid, Bukit Katil malam tadi.



Majlis dihadiri kira-kira 1,000 hadirin.

Pada majlis itu, Pas Melaka melancarkan manifesto bertemakan 'Melaka Sejahtera' yang mengandungi 11 agenda teras, khusus untuk rakyat negeri itu.

Antara 11 teras yang ditawarkan termasuk urus tadbir negeri yang baik dan bersih, pemilikan rumah dan tanah, perkhidmatan awam yang efektif, kelestarian alam sekitar, ekonomi sejahtera rakyat, pendidikan untuk semua, perpaduan dan keselamatan komuniti, maju bersama islam dan pembangunan yang mampan.

Selain itu, belia sebagai penggerak ummah dan wanita dan keluarga sebagai teras juga tersenarai dalam agenda yang ditawarkan.

Pada majlis sama, Abdul Hadi turut mengesahkan bakal meletakkan 28 calon di negeri itu - lima kerusi Parlimen dan 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada PRU13 lalu, Pas meletakkan 14 calon di Melaka dan memenangi satu kerusi di DUN Bukit Baru.