Pas tidak akan sertai Gerakan Tanah Air - Takiyuddin

Bernama
Ogos 9, 2022 13:10 MYT
Pas tidak akan menyertai Gerakan Tanah Air (GTA), kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Pas tidak akan menyertai Gerakan Tanah Air (GTA), kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menyifatkan penubuhan GTA tidak memberi kesan kepada Pas, beliau berkata gabungan itu, yang dipelopori Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bukanlah terdiri daripada parti-parti dominan.
"Malah saya ingin seru kepada GTA supaya bergabung dengan parti yang memberi kepentingan serta membela rakyat untuk kestabilan negara kerana perpecahan tidak akan membawa manfaat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di sini hari ini.
Pas ketika ini adalah sekutu Bersatu yang membentuk Perikatan Nasional bersama Gerakan dan dua parti berpangkalan di Sabah.
BACA: Gerakan Tanah Air gabungan parti politik Melayu menentang UMNO dalam PRU15 - Tun Mahathir
Pada Khamis lepas, Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA iaitu sebuah gabungan bertujuan memperkasa kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi.
-- BERNAMA
#PAS #Gerakan Tanah Air #GTA #Pejuang #Iman #Berjasa #Takiyuddin Hassan #Mahathir Mohamad #Perikatan Nasional