BUKIT MERTAJAM: Sindiket penyeludupan dadah untuk pasaran Lembah Klang tumpas selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan pasangan kekasih dan merampas ganja seberat 300 kilogram (kg) bernilai RM750,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Impian, di sini, pada 16 Julai lepas.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, siasatan mendapati dadah berkenaan diseludup dari Thailand dibawa ke Perlis menggunakan jalan darat seterusnya transit di Pulau Pinang sebelum dihantar ke Lembah Klang untuk diedarkan.

Surina berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 41 tahun dan wanita Indonesia berusia  37 tahun itu ditahan dalam serbuan pukul 9 malam di sebuah rumah yang dijadikan transit untuk menyimpan semua ketulan mampat ganja terbabit .

Katanya, semasa serbuan, polis menemukan dadah berkenaan disorokkan dalam 12 kotak polisterin bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dadah jenis ganja berjumlah 300 kg telah diseludup masuk ke Perlis melalui sempadan dan laluan sah dan telah dikenal pasti oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis, dadah ini telah diterima dan diletakkan di satu kawasan dan kita telah mengekori kenderaan yang telah membawa dadah tersebut sehingga ke Pulau Pinang.

“Jadi 300 kg dadah jenis ganja ini adalah untuk kegunaan seramai 600,000 penagih dadah dan pasaran dadah ganja ini adalah di Lembah Klang,” kata Surina dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, PDRM masih menjalankan siasatan lanjut tempoh sindiket berkenaan beroperasi dan mengenal pasti dalang terbabit.

Sementara itu, kata Surina, dedua-dua suspek yang menjalankan perniagaan tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian  saringan air kencing yang dilakukan terhadap pasangan terbabit mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah.

Selain itu, jelasnya, siasatan juga mendapati mereka tinggal bersama di rumah berkenaan dan wanita terbabit tidak memiliki sebarang dokumen yang sah untuk tinggal di negara ini.

Surina berkata, selain dadah, polis turut merampas sebuah motosikal bernilai RM2,800 daripada pasangan terbabit.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Surina berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, polis Perlis berjaya membuat 16 tangkapan dan merampas sebanyak 364 kg ganja yang diseludup masuk melalui sempadan negeri itu.

Katanya, pihaknya akan terus memastikan kegiatan penyeludupan dadah melalui sempadan disekat sepenuhnya dan sindiket pengedaran dadah dibawa ke muka pengadilan.