IPOH: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas tuduhan secara bersama membunuh anak saudara mereka, dua minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, Zainuddin Noh dan isterinya, Norhazleyana Azreen Abdul Hamid yang berumur 40 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana ia melibatkan kes bunuh.

Menurut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa membunuh anak saudara perempuan mereka yang berusia 8 tahun di sebuah rumah di Jalan Desa Pengkalan Bandaraya, Desa Pengkalan, Lahat, Ipoh antara jam 10 malam, 13 Mei hingga 7 pagi, 14 Mei lalu.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan berikutan tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 302 kerana membunuh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Azlina Rasdi manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Syuhada Mohd Yusof.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Ipoh pula, pasangan peniaga kecil itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan secara bersama melakukan penganiayaan terhadap adik lelaki si mati yang berusia  7 tahun sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Mereka membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan pada jam 1.30 petang dan 10.30 malam, 13 Mei lalu di alamat yang sama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksima 20 tahun atau denda maksima RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh dikenakan perintah bon berkelakuan baik dengan penjamin untuk satu tempoh dan syarat yang difikirkan sesuai oleh mahkamah serta menjalankan khidmat masyarakat tidak kurang 36 jam dan tidak lebih 240 jam.

Tiada jaminan ditawarkan kerana pasangan itu telah terlebih dahulu didakwa di Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mahkamah turut menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hafizah Mohammad Pauzi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.