BANDAR BAHARU: Polis menahan satu pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun, yang meninggal dunia di Hospital Jitra, semalam.

Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata kanak-kanak itu dibawa ke hospital berkenaan kira-kira pukul 7.30 malam oleh ahli keluarganya selepas tidak sedarkan diri, dan hasil bedah siasat mendapati ada kesan lebam dan tekanan dipercayai dipijak pada anggota badan anak bongsu dari tiga adik beradik itu.

"Pasangan suami isteri masing-masing berusia 22 dan 26 tahun dipercayai baru berkahwin dua hingga empat bulan lepas itru ditahan bagi membantu siasatan. Kedua-dua suspek mengaku memukul kanak-kanak itu, namun siasatan akan dijalankan bagi memastikan sekiranya kesan pukulan itu yang menyebabkan kematian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau keadaan di Bukit Thorn di sini, yang merupakan lokasi pencarian tahanan Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dua hari lepas.

Wan Hassan berkata pasangan itu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan semakan mendapati wanita yang ditahan itu mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes curi.

-- BERNAMA