TAWAU: Pasangan suami isteri maut dalam satu nahas jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di jalan Inderasabah, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas, berkata sebelum kejadian pada jam 1.30 petang, Al Sebal Warid, 29, dan isterinya Nurul Aidil Fitri Nordin, 29, menaiki motosikal dari Inderasabah menuju ke Taman Sawit.

Sementara kenderaan Isuzu Jeep dipandu lelaki berumur 29 tahun yang bekerja sebagai nelayan, sedang dalam perjalanan dari Taman Sawit ke Inderasabah.

"Tiba di lokasi kejadian, Isuzu Jeep berkenaan cuba memotong dua buah kenderaan dihadapannya sebelum bertembung dengan motosikal yang dinaiki mangsa.

"Isuzu Jeep tersebut cuba mengelak ke bahu jalan, namun kerana jarak yang terlalu dekat, motosikal yang dipandu mangsa terlanggar hadapan kiri kenderaan tersebut.

"Akibat nahas itu, pembonceng motosikal tercampak lebih kurang 14 meter dari bahu jalan dan maut di lokasi kejadian," katanya.

Sementara penunggang motosikal dikejarkan ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal di Wad Kecemasan Hospital Tawau ketika menerima rawatan.

Bagaimanapun, pemandu Isuzu Jeep bersama seorang lagi penumpang kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu Isuzu Jeep kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.