IPOH: Pasar Ayam Amanjaya, Ipoh menjadi pasar pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi robotik dalam menyelesaikan isu kebersihan dan pengangkutan barang dalam kawasan pasar.

Projek kerjasama strategik antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu merupakan projek rintis dalam aplikasi robotik dan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, ia juga bertepatan dengan keperluan terhadap perubahan cara hidup norma baharu ekoran penularan COVID-19.

"Robot ini boleh mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing, boleh meningkatkan kebersihan  dan juga boleh meningkatkan kecekapan di pasar.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa ini selaras dengan pendekatan MOSTI untuk mewujudkan no touch high tech economy, ekonomi sentuhan rendah, tak perlu sentuh banyak benda," kata beliau ketika ditemui selepas melancarkan penggunaan teknologi sentuhan rendah aplikasi robotik dan AI di Pasar Ayam Amanjaya Ipoh, pada Selasa.

Hadir sama ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Sebanyak tiga jenis robot digunakan di pasar berkenaan iaitu untuk membersihkan lantai, mengangkut barang dan mengutip sisa.

Ketiga-tiga robot itu dibangunkan oleh dua syarikat tempatan, Ideasparq Robotics Sdn Bhd dan Akar Indah Engineering Sdn Bhd hasil kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).