Ujarnya, perbincangan telah dibuat oleh DAP Pahang namun rundingan dengan BN negeri itu akan dijalankan oleh Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari.
"Dari sudut kami (DAP Pahang) sudah okay. Kita beri masa kepada mereka (BN) untuk menyelesaikan masalah mereka dahulu.
"Pihak kami telah berbincang, kami serahkan kepada Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengadakan perbincangan dengan BN Pahang dan mencari penyelesaian terbaik.
"Kita jangkakan berita baik akan diumumkan hari ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Tambah Ngah Ngah, PH Pahang juga telah membuat keputusan untuk menyokong Menteri Besar sedia ada dari BN, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk terus menerajui kerajaan negeri itu.
"Kita telah putuskan untuk sokong Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tapi apa pun ianya akan diputuskan oleh Istana dan kami hormati keputusan Istana.
"Kita harap kerajaan pusat bekerjasama (PH dan BN), di peringkat negeri pun kerjasama, contoh terbaik di Perak," katanya lagi.
Mengulas mengenai sama ada terdapat nama dicalonkan oleh PH Pahang sebagai Menteri Besar, jelas Ngah Ngah, tiada nama yang dibawa ketika ini.
"Kita cuma hanya ada lapan kerusi sahaja. Apa yang kita mahu, kita nak datangkan kemakmuran, kestabilan dalam negara ini yang berbilang kaum," ujarnya.
Ketika ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang masih tergantung selepas tiada gabungan politik yang mendapat majoriti mudah 22 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi DUN, diikuti BN peroleh 16 kerusi DUN dan PH pula hanya lapan kerusi DUN.
Ketika ini, satu kerusi DUN di Tioman akan dijalankan proses pengundian pada 7 Disember depan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada awal pagi Sabtu.
Astro AWANI akan membawa perkembangan terkini dari semasa ke semasa mengenai pembentukan kerajaan negeri Pahang.