KUALA LUMPUR: Selepas enam hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tumpuan negara pagi ini terarah sekali lagi kepada Istana Negara, selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk mengadakan Perbincangan Khas bersama Majlis Raja-Raja Melayu.

Difahamkan mesyuarat itu telah tamat selepas kenderaan rasmi membawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar disusuli kenderaan rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir meninggalkan perkarangan Istana Negara.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin semalam, Perbincangan Khas itu bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu bagi membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.

Selain itu, beliau berkata,mesyuarat berkenaan akan bermula kira-kira pukul 10.30 pagi ini, namun, tidak diketahui berapa lama perbincangan itu akan berlangsung.

Kenderaan rasmi membawa Sultan Ibrahim pertama sekali tiba di Pintu 1 Istana Negara, iaitu pada pukul 9.40 pagi.

Kemudian disusuli kenderaan rasmi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan kenderaan rasmi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Seterusnya ialah kenderaan rasmi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz.

Yang terakhir sekali ialah kenderaan rasmi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, manakala tiada wakil untuk Kelantan kali ini.

Difahamkan hasil perbincangan khas akan dikongsikan melalui kenyataan rasmi Istana Negara dalam masa terdekat.