LANCHANG: Kerajaan akan membuat kajian terperinci dalam menyelesaikan isu banjir di beberapa negeri yang terjejas teruk sejak Disember tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia termasuk kerja-kerja membina tebatan banjir, mendalamkan sungai dan parit serta pembinaan infrastruktur seperti Terowong Lebuhraya SMART bagi pelencongan air banjir di kawasan bandar.

"Kalau dulu, isunya dari segi kos, kos katakan tebatan banjir kos amat tinggi, Negeri Pahang beberapa bilion ringgit digunakan untuk tebatan banjir.

"Kita akan bina baraj (pintu kawalan air) di Sungai Semantan dan mengalirkan air yang masuk. Air ini contohnya di Mentakab, air bergenang sebab air Sungai Semantan tak boleh masuk.

"Mungkin juga kita akan ada, kawasan simpanan air, tetapi musim banjir ini air kita tak nak air banyak. Air yang banyak kita tak simpan, untuk kegunaan kita sewaktu kemarau," jelasnya.

Namun beberapa model seperti digunakan di negara China dan Belanda jelas Ismail akan turut diambil kira bagi penyelesaian banjir di negara ini.

"Perkara ini telah lama diputuskan sejak zaman Barisan Nasional (BN) memerintah lagi, kita ikut model di Belanda, takungan air boleh digunakan.

"Ia mengelakkan banjir, begitu juga SMART Tunnel di Kuala Lumpur agak berkesan. Di Selangor tak ada SMART Tunnel, kemungkinan besar di kawasan besar di Selangor seperti di Shah Alam, mungkin kita boleh melihat kemungkinan kita wujudkan SMART Tunnel," katanya lagi.

Mengulas lanjut tambah Ahli Parlimen Bera itu, perbincangan dan mesyuarat akan dijalankan di peringkat persekutuan dan negeri bagi mencari penyelesaikan komprehensif isu banjir itu.

"Semalam saya bincang Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), saya lihat satu ada video daripada negara China, dia panggil Sponge City.

"Di China, menggunakan taman-taman rekreasi dijadikan sponge menyerap air, boleh mengurangkan kecepatan air meningkat, model ini juga akan dibincang, apa sahaja model kita akan gunakan," katanya lagi.

Meskipun menelan perbelanjaan yang besar, jelas Ismail lagi, kerajaan perlu memikirkan penyelesaian jangka panjang agar rakyat tidak lagi terkesan seperti Disember tahun lalu.

"Sungai perlu diperdalamkan kita akan dapat laopran KASA dan JPS. Jika ada parit dan tali air di Kedah yang telah pun cetek perlu diperdalamkan, perlu diadakan benteng di sungai mengelakkan air melimpah, tebatan banjir.

"Perbelanjaan sangat besar tapi kita lihat kos sebenar kalau nak selesaikan seluruh negara serentak, kita makan masa.

"Kita nak lihat, kalau tak buat serentak tapi fokus daerah potensi tinggi daripada segi banjir. Kawasan tertentu kita akan fokus secara terperinci," jelasnya lagi.

Terdahulu, Ismail menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Daerah Temerloh pada Sabtu.

Sebanyak 5,000 barangan elektrik dan peralatan rumah diserahkan kepada penduduk setempat.

Turut diserahkan, wang tunai RM1,500 Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada KerajaanPpusat dan kerajaan Negeri Pahang.